Small Lightning Bolt

Penulisan Pertama

Air merupakan keperluan asas dalam kehidupan manusia. Penggunaan air semakin meningkat akibat daripada pertambahan penduduk dunia. Oleh yang demikian, kerajaan telah membina empangan untuk menampung keperluan tersebut. Empangan merupakan suatu pembinaan yang melibatkan pewujudan jasad air dalaman yang besar. Salah satu empangan yang terdapat di Malaysia ialah Empangan Bakun yang merupakan empangan jana kuasa elektrik di Sarawak. Empangan Bakun merupakan empangan yang terbesar di Malaysia dan di Asia Tenggara. Empangan Bakun mula dibina pada tahun 1986 dan mula melakukan operasi penakungan air pada 13 Oktober 2010  (The Borneo Post, 12 Mac 2012) dan tenaganya mulai dijual pada 6 Ogos 2011 (The Borneo Post, 30 Jun 2011).
Kerajaan Malaysia mula membina empangan hidro elektrik ekoran daripada pengurangan sumber mineral yang semakin ketara. Empangan merupakan sumber alternatif yang efektif untuk menggantikan sumber mineral yang kian pupus seperti diesel. Pada tahun 1949, lebih kurang 5000 buah empangan telah dibina di seluruh dunia. Pada akhir abad ke 20 pula, terdapat lebih daripada 45,000 buah empangan di seluruh dunia telah dibina bertujuan untuk membantu komuniti dan ekonomi dalam aspek kawalan banjir, makanan, peluang pekerjaan, pembangunan bandar serta pembangunan industri dan domestik.Pembinaan empangan bukan sahaja berfungsi untuk mengawal banjir, membentuk dan membekalkan air, malahan turut memainkan peranan dalam penghasilan sumber hidroelektrik (Ismail Sahid, 1985).
Namun pembinaan empangan turut memberikan kesan buruk kepada ekosistem termasuk hidupan liar, kepelbagaian tumbuhan, manusia dan ekonomi setempat. Pada umumnya ia menyebabkan kawasan tadahan menjadi semakin berkurangan, hidupan liar di daratan dan organisma air musnah sama sekali, aliran air mengalami perubahan secara mendadak, sifat kimia dan fizikal serta kualiti air berubah, habitat sungai berubah menjadi habitat tasik, ikan air tawar dan organisma akuatik yang lain berpindah tempat, juga habitat dan ekologi sistem yang baru wujud.
Berdasarkan laporan Suruhanjaya Empangan Sedunia (World Commission on Dams) , habitat di hilir sesebuah empangan itu seringkali mengalami perubahan-perubahan tertentu yang akan mencipta persekitaran yang menggalakkan pembiakkan spesies-spesies luar dan ini seterusnya dapat menjejaskan populasi spesies-spesies asal sesebuah sungai tersebut. Selain itu, ekosistem yang telah berubah boleh menjadi tidak stabil, menjejaskan sumber-sumber ikan yang menjadi rezeki para nelayan dan membiakkan agen-agen penyakit yang berbahaya kepada manusia dan spesies lain.

Seterusnya, sungai tersebut tidak akan dapat menyokong masyarakat serta aktiviti budaya dan ekonomi yang wujud di hilir yang telah menjadi sebahagian sejarahnya. Perubahan habitat ini boleh menyebabkan akibat-akibat yang sangat buruk kepada penduduk yang bergantung kepada sungai yang telah diempang untuk kehidupan seharian mereka. Aktiviti penebangan dan pembersihan hutan untuk tujuan pembinaan empangan telah menyebabkan isipadu air di kawasan tadahan air menjadi semakin berkurangan.Selain itu, ia turut menyebabkan berlakunya hakisan tanah. Hal ini demikian kerana tiada lagi akar yang mencengkam tanah di kawasan tersebut. Penyahutanan juga menyebabkan tanah terdedah secara langsung dengan sinaran cahaya matahari. Kesannya suhu sekitar semakin meningkat.
Kesimpulannya, pembinaan empangan merencanakan hubungan timbal balik antara kesan positif dan kesan negatif. Ketidakseimbangan antara dua kesan ini pasti akan boleh diatasi dengan langkah yang konsisten dan dinamik dilakukan oleh pihak-pihak yang terlibat.